Monday, July 17, 2017

ANAK CINA MELAYU SARAWAK

ANAK CINA MELAYU SARAWAK
TAJUK artikelnya sahaja boleh mengundang 1001 persoalan lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan senario yang berlaku sekarang yang serba serbi dilabelkan perkauman dan sebagainya. Hakikatnya apa yang ditampilkan ini adalah satu kebenaran yang telah menjadi satu keunikan sejarah apabila berbicara mengenai segelintir anak perempuan di kalangan keluarga Melayu Sarawak suatu masa dahulu.
“Anak Cina Melayu Sarawak” adalah merujuk kepada satu golongan anak perempuan yang diangkat di kalangan Melayu Sarawak suatu ketika dahulu. Hal ini tidak lagi berlangsung sekarang dan dikatakan aktiviti mengambil anak angkat langsung dari keluarga Cina adalah antara aktiviti yang sudah menjadi kebiasaan keluarga Melayu Sarawak baik sewaktu zaman Brooke, musim Jepun merentah Sarawak mahupun ketika Sarawak menjadi jajahan Koloni Mahkota Sarawak British Borneo.
Dek kerana itulah sudah menjadi lumrah di kalangan Melayu Sarawak sekarang yang mempunyai nenek mahupun ibu yang bermata sepet dan berkulit putih langsat yang langsung tidak menampilkan fizikal Melayu sebaliknya Cina. Namun disebalik perbezaan ada kesamaannya dengan anak perempuan Melayu adalah mereka juga diberikan nama Melayu dan berbintikan ayah Melayunya.
Dan ada sesetengah keluarga Melayu Sarawak yang mempunyai marga nama keluarga “Dayang” mahupun “Sharifah” juga turut mewariskan nama tersebut kepada anak perempuan mereka. Yang pasti anak perempuan ini juga sudah menzahirkan adab dan santun serta rasa kekitaan sebagai Melayu Sarawak kerana dibesarkan oleh Melayu Sarawak itu sendiri.
Menguak pintu sejarahnya kewujudan anak perempuan Cina Melayu Sarawak ini mempunyai banyak faktor mengapa ianya menjadi sedemikian. Dan perkaitannnya dengan dogma pemikiran tradisional serta kepayahan penghidupan mengikut era pemerintahan Sarawak suatu ketika dahulu juga antara penyumbang kepada kewujudan mereka.
Umum mengetahui bahawa di ketika zaman Brooke memerintah Sarawak selama lebih 100 tahun, penghijrahan masyarakat Cina ke Sarawak sudahpun bermula secara besar-besaran. Pada ketika itu polisi Brooke yang menarik menyebabkan imigran-imigran dari Negara China langsung bermastautin di Sarawak samada sebagai pembuka ladang mahupun peniaga. Kedatangan mereka bukan sahaja secara individu malah ada yang membawa anak dan isteri sekali.
Bukan senang memulakan penghidupan yang baharu di negara orang jadi segala kesulitan harus ditelan sendiri. Dan apabila keluarga semakin membesar ianya akan menjadi pokok persoalan yang penting. Ditambahlagi pada masa itu kerana masih terikat dengan dogma pemikiran tradisional masyarakat Cina di Tembok Besar China masih lagi kuat meresap di sanubari setiap imigran pada masa itu.
Kelahiran anak lelaki sentiasa ditunggu-tunggu oleh imigran Cina kerana disinilah letaknya kebanggaan mereka kerana anak lelaki bakal mewarisi marga nama keluarga serta boleh dijadikan sandaran untuk membantu keluarga. Sementara kelahiran anak perempuan imigran Cina pula dianggap sebagai satu beban di kalangan mereka. Dek kerana itulah ramai kelahiran bayi perempuan imigran Cina secara sengaja diserahkan kepada kaum Melayu Sarawak. Ini kerana setiap bayi mengikut agama Islam serta adat tradisi adalah sebagai rezeki untuk keluarga yang mengambilnya.
Itu adalah antara sebabnya di ketika zaman Brooke memerintah Sarawak. Lain pula halnya apabila kita berbicara dari konteks sejarah musim Jepun “merentah” Sarawak. Layanan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua terhadap masyarakat Cina seantero dunia adalah sama sebenarnya. Di Sarawak juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi mereka turut menampilkan Operasi Sook Ching sejak mula menduduki Sarawak. Kekejaman Jepun seperti merompak, membakar rumah dan kampung, mengambil barang-barang orang Cina, memeras hasil orang cina, merogol gadis-gadis cina dan sebagainya turut dilakukan.
Operasi Sook Ching hanya mula dibubarkan sekitar Mac 1942 namun ianya tetap menjadi igauan ngeri kepada masyarakat Cina pada masa itu. Natijahnya daripada mula Jepun menduduki Sarawak sehinggalah mereka mengaku kekalahannya akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima ramai bayi-bayi perempuan dan anak-anak gadis masyarakat Cina diserahkan kepada keluarga Melayu Sarawak untuk dijadikan anak angkat.
Ini kerana di ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, walaupun kaum Melayu Sarawak juga hidup didalam ketakutan dan kepayahan namun layanan Jepun lebih baik berbanding dengan layanan mereka terhadap kaum Cina. Jadi apabila bayi mahupun anak gadis itu ditampilkan sebagai kaum Melayu Sarawak maka mereka juga turut terselamat daripada segala bentuk kekejaman Jepun pada masa itu.
Untuk era zaman koloni British pula ianya lebih berkisar kepada kepayahan penghidupan dan stigma pemikiran mereka. Menurut cerita lisan ada sesetengah keluarga Cina sengaja “menjual” bayi perempuan kepada keluarga kaum Melayu yang mendambakan untuk mempunyai zuriat sendiri. Selain itu stigma pemikiran tradisional mereka juga masih dipegang kuat iaitu anak perempuan akan memberikan banyak kepayahan kepada keluarga tetap masih digunapakai.
Dan disinilah adanya keluarga Melayu yang akan menjadi penyelamat untuk mengambil anak perempuan Cina sebagai ahli keluarga mereka. Anak-anak perempuan Cina ini akan dididik dengan cara Melayu serta diberikan segala ilmu pengetahuan mengenai Islam serta diajar adab santunnya sebagai seorang Melayu. Mereka juga dijodohkan dengan pemuda Melayu sehingga melahirkan ada lagi generasi Melayu Sarawak yang mempunyai iras-iras Cina tetapi berjatidiri Melayu tulen sehingga sekarang.
Hakikatnya sejarah anak Cina Melayu Sarawak ini hanya terjadi suatu ketika dahulu dan sudah lama terkubur sejak Sarawak menjadi sebahagian pembentuk Malaysia. Sekarang kaum Cina sudah berfikiran moden dan tidaklah semudah itu memberikan anak perempuan mereka kepada oranglain. Kepayahan dan kesulitan hidup juga bukan sebagai satu tiket menghalalkan segalanya. Anak-anak perempuan dari kaum Cina juga turut dianggap “harta paling bernilai” di dalam keluarga.
Sudah pasti cerita anak Cina Melayu Sarawak ini sememangnya amat dekat di kalangan masyarakat Sarawak sehingga ke hari ini kerana legasi keturunannya masih lagi ada. Ianya sebahagian daripada ceritera sejarah masyarakat Sarawak yang mempunyai keunikannya tersendiri dan tidak begitu diwar-warkan untuk pengetahuan masyarakat di luar sana.
Memetik satu penyataan daripada seorang penyair dan aktivis suara wanita di China iaitu Xinran.
“Ketika seorang perempuan datang ke dunia, mereka ingin menjadi yang terbaik - saudara perempuan yang baik, ibu yang baik, teman yang baik, pasangan yang baik malah seorang isteri yang baik. Perempuan sangatlah baik kerana telah berusaha keras untuk memberi, mencintai dan peduli kepada keluarga dan oranglain. Tetapi kerana lingkungan dan budaya mereka, ramai perempuan merasa bahawasanya diri mereka TIDAK BERGUNA”