Wednesday, March 30, 2016

New Terrorism





Corak Terkini Terorisme Alaf Baru (New Terrorism)

Lailatul Afizdha Arip, Lt Kol Dr Zulkarnain Haron24/03/2016 Keganasan, Rencana151 Tatapan

Abad ke-21 telah menyaksikan fenomena terorisme menjadi semakin kompleks dan ia mencetuskan dimensi ancaman baru kepada keselamatan antarabangsa. Beberapa kumpulan pengganas baru seperti Islamic State (IS) dan Boko Haram telah muncul di persada global dan kumpulan sebegini dilihat mengambil kesempatan atas situasi politik yang tidak menentu untuk melancarkan tindakan keganasan dan kekacauan ke atas sesebuah negara demi mencapai objektif politik mereka. Apa yang membimbangkan adalah kemunculan kumpulan pengganas seperti IS dan Boko Haram ini  telah memberi kesan kepada kestabilan dan keharmonian dalam sesebuah negara tersebut seterusnya berupaya mengubah landskap keselamatan dunia pada hari ini.

Insiden Serangan Keganasan

Kebanyakan pakar pengkaji keganasan antarabangsa seperti Alex Scmidt, Bruce Hoffman, Paul Wilkinson, Oliver Roy dan Walter Laqueur bersetuju bahawa terorisme kini telah berubah kepada satu dimensi baru yang dipanggil ‘new terrorism’ atau terorisme alaf baru[1]. Anjakan terorisme daripada ‘old’ kepada ‘new’ ini sejajar dengan perubahan teknologi, demografi penduduk, situasi politik antarabangsa, situasi dan kondisi dalaman sesebuah negara dan kepekaan manusia terhadap perubahan persekitaran mereka. Terorisme alaf baru kini menyaksikan pelaku, motif, taktik, motivasi, strategi, matlamat dan struktur organisasi yang berbeza berbanding dengan ‘old terrorism’. Oleh kerana dimensi terorisme kini telah berubah,  maka ia turut memberi kesan kepada usaha-usaha melawan terorisme (countering terrorism) yang dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan kerana kefahaman tentang ciri-ciri terorisme alaf baru akan dapat memastikan keberkesanan usaha mencegah keganasan yang telah dan akan diformulasikan.

DEFINISI DAN CIRI-CIRI TERORISME

Sehingga kini, istilah terorisme masih tidak mempunyai definisi yang tepat. Terdapat 212 definisi yang berbeza tentang istilah terorisme yang digunakan oleh pelbagai agensi dan kerajaan di dunia sekarang[2]. Menurut Mark Juergensmeyer, terorisme berasal dari bahasa latin, “Terrere” yang bererti menimbulkan rasa gementar dan rasa cemas. Jika diterjemah dari bahasa Inggeris “to terrorize” perkataan ini bermaksud ‘menakut-nakutkan”. “Terrorist” bermaksud teroris atau pelaku keganasan. ‘Terrorism’ pula bermaksud menimbulkan ketakutan atau membuat gentar. Dalam bahasa Arab, ia dipanggil ‘irhabiyyah’. Secara umum, istilah terorisme diertikan sebagai satu bentuk serangan (fahaman/ideologi) terkoordinasi yang dilancarkan oleh kelompok tertentu dengan maksud untuk membangkitkan perasaan takut di kalangan masyarakat. Terorisme adalah merupakan satukaedah atau ‘method’ yang mempunyai tujuan untuk membuat orang lain merasa ketakutan, sehingga dapat menarik perhatian masyarakat yang lebih luas.

Terorisme telah digunakan sebagai senjata psikologi untuk menciptakan suasana panik, tidak menentu serta menciptakan ketidakpercayaan masyarakat terhadap kemampuan pemerintah dalam menangani situasi keselamatan negara. Definisi terorisme telah menjadi istilah yang sangat kompleks kerana setiap kelompok atau individu memiliki maksud tersendiri mengenai definisi terorisme ini sesuai dengan faktor psikologi dan matlamat perjuangan masing-masing.  Ini dilihat bertepatan dengan istilah cliché  yang menyatakan  “one man’s terrorist is another man’s freedom fighter”.

Kumpulan pengganas tidak kira apa jua orientasi perjuangan mereka menggunakan tindakan keganasan untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:

Attention (perhatian).Acknowledgement (pengakuan).Recognition (pengiktirafan).Authority (kuasa).Governance (pentadbiran).

Tindakan-tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa kumpulan pengganas menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat terakhir iaitugovernance dan berhasrat untuk memerintah sesebuah negara. Dalam era Perang Dingin, pengganas mengambil peluang dalam hubungan proksi sama ada dengan negara-negara berkuasa besar ataupun kuasa-kuasa tengah yang dilihat lebih mudah tanpa melibatkan diri secara langsung dalam perang. Agensi perisikan Rusia, KGB, dipercayai banyak berperanan dalam melatih, membekalkan dan menyokong anggota pengganas. Manakala kuasa-kuasa negara tengah seperti Iran, Libya, Iraq, Syria, Cuba dan Korea Utara juga dikatakan menyokong tindakan keganasan.

Terorisme mempunyai beberapa ciri yang jelas untuk membezakannya dengan aktiviti-aktiviti jenayah-jenayah lain. Sesetengah kumpulan pengganas berselindung di sebalik istilah ‘pejuang kebebasan’, ‘separatis’, ‘national liberators’ dan fundamentalis bagi menjustifikasikan aksi dan tindakan keganasan mereka. Namun begitu, terorisme sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang sangat jelas seperti berikut:

Tindakan dan aksi terorisme adalah dirancang dengan teliti (premeditated). Ia bukannya satu tindakan yang dilakukan secara spontan (impromptuTerorisme bermotifkan politik (untuk mengawal wilayah atau mendirikan sebuah negara/Daulah)Terorisme dilakukan oleh ‘non-state actor’ iaitu individu atau kumpulan-kumpulan yang tidak mempunyai afiliasi dalam sesebuah negara dan bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan serta undang-undang antarabangsa.Terorisme menyasarkan orang awam.Aksi dan tindakan terorisme memberi kesan psikologi bukan sahaja kepada sasaran mereka malah ia pergi lebih jauh lagi iaitu kesan trauma, ketakutan dan kejutan kepada masyarakat umum secara keseluruhannya.

Berdasarkan ciri-ciri terorisme yang telah dinyatakan ini, dapat rumuskan definisi terorisme yang boleh diguna pakai adalah seperti berikut:

“Individu atau kumpulan yang menggunakan atau mengancam untuk menggunakan   kekerasan fizikal dan psikologikal  yang telah dirancang untuk mencapai tujuan politik dengan menyasarkan orang awam di mana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta nilai-nilai kemanusiaan”

ERA OLD TERRORISM

Pengkaji keganasan menyatakan aktiviti-aktiviti keganasan sekitar era 1960an hingga 1980an memenuhi ciri-ciri dan dimensi ‘old terrorism’. Keganasan politik berhaluan kiri dilihat begitu signifikan dalam tempoh ini dengan menyaksikan beberapa insiden rampasan pesawat oleh pengganas dan sebagainya. Antara insiden lain yang signifikan termasuk insiden pembunuhan sembilan atlet Israel di Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.

Pembunuhan atlet Israel di Sukan Olimpik Di Munich, Jerman pada 1972

‘Old terrorism’ mempunyai beberapa ciri yang sangat signifikan seperti berikut:

Ideologi Haluan Kiri. Secara amnya, motif perjuangan ‘old terrorist’ adalah berorientasikan ideologi haluan kiri dan bercirikan sekular. Sebagai contoh ideologi parti berhaluan kiri adalah seperti Marxisme, Komunisme, etno-nasionalisme dan separatisme (contoh lain seperti Irish, Basque dan Palestin). Pengikut Marxisme menggunakan strategi kekerasan dan keganasan ke atas golongan kapitalis yang dianggap sering melakukan penindasan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Manakala, perjuangan etno-nasionalisme dilihat lebih berunsurkan faktor pro-etnik tertentu yang memperjuangkan kemerdekaan dan kebebasan etnik yang tertindas ataupun berhasrat untuk bergabung dengan mana-mana negara yang mempunyai etnik yang sama. Misalnya di era 1970an menyaksikan konflik etnik yang dicetuskan oleh parti Communist Khmer Rouge di Kemboja.[3]Communist Khmer RougeTuntutan Yang Munasabah. Tuntutan ‘old terrorist’ boleh dirunding kerana permintaan kumpulan-kumpulan pengganas pada era itu adalah jelas (contohnya ingin membebaskan ketua atau rakan mereka yang di penjara).Struktur Pemerintahan. Organisasi kumpulan pengganas pada era tersebut juga jelas tersusun dengan struktur hierarki pemerintahan yang mengawal sel-sel kecil dibawahnya.Saiz Kumpulan. Saiz kumpulan pengganas pada ketika itu juga adalah kecil berbanding dengan saiz kumpulan pengganas pada alaf baru ini.Wilayah Operasi. Kumpulan pengganas di era 1960an hingga akhir era 1980an beroperasi dalam wilayah yang tertentu sahaja di mana kepentingan mereka terlibat (contohnya menuntut wilayah autonomi). Justeru, aktiviti keganasan tidak merebak keluar wilayah yang tidak terlibat dengan konflik.Strategi. Kumpulan pengganas di era tersebut juga memilih sasaran-sasaran mereka dengan teliti dan pilihan ini adalah berdasarkan matlamat, kepentingan dan hubungannya dengan tuntutan perjuangan mereka.IRA

Contoh organisasi-organisasi keganasan yang berkaitan adalah seperti Palestine Liberation Organization (PLO), Irish Republican Army (IRA) dan Euskadi Ta Askatasuna (ETA).

ETA

Organisasi seumpama ini bersifat selektif dalam menyasarkan sasaran demi perubahan politik yang diinginkan. Ini kerana organisasi sedemikian bermatlamatkan meraih simpati dan pengaruh orang awam bagi memperkukuhkan kuasa dan kedudukan. Kegagalan memilih sasaran dengan baik berupaya menghalang keseluruhan modus operandi kumpulan tersebut.

Taktik dan Teknik. Taktik-taktik yang digunakan pada era tersebut juga adalah berbentuk konvensional seperti penggunaan senjata rifle, bom tangan, rampasan kapal terbang dan penculikan pimpinan kerajaan yang mempunyai kaitan dengan perjuangan mereka.Penggunaan Senjata Konvensional. Akhir sekali, kumpulan pengganas di era 1960an hingga 1980an tidak menunjukkan minat untuk menggunakan taktik atau senjata bukan konvensional seperti senjata biologi, kimia dan nuklear. Ini kerana penggunaan senjata pemusnah atau bio-kimia dilihat mampu menyebabkan collateral damageyang akan mengurangkan sokongan dan pengaruh mereka terhadap orang ramai. Serangan hanya dilancarkan di dalam lingkungan kawasan pengaruh dan tidak bersifat regional.

TERORISME ALAF BARU (NEW TERRORISM)

Perubahan teknologi dan perkembangan situasi hubungan antarabangsa telah memberikan dimensi baru kepada fenomena terorisme global. Aktiviti keganasan kini bukan sahaja terhad kepada wilayah tertentu tetapi ia telah merebak ke seluruh dunia selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Fahaman-fahaman radikal kini telah dieksport ke luar dari wilayah yang bergolak di mana ia menjadi ancaman kepada negara – negara yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan aktiviti terorisme. Sebagai contohn, fenomena Al Jama’ah Al Islamiyah yang melanda negara-negara di Asia Tenggara pada lewat tahun 1990an adalah merupakan contoh terbaik bagaimana fenomena atau senario terorisme kini telah menjadi fenomena global. Kini senario IS pula telah mengisi ruang dan menjadi agenda keselamatan dunia.

Adalah sukar untuk menentukan tarikh dan masa yang tepat bila berlakunya transisi dari ‘old terrorism’kepada terorisme alaf baru ini. Namun begitu, dengan mengambil kira beberapa insiden keganasan seperti serangan ke atas World Trade Centre di New York pada tahun 1993 dan serangan gas beracun Sarin pada tahun 1995 oleh Aum Shinrikyo di Tokyo Subway System, Jepun memberi petunjuk yang signifikan bahawa isu terorisme telah memasuki satu fasa dan dimensi yang baru.

Serangan Kumpulan Aum Shinrikyo di Tokyo Subway System, Jepun

Menurut Bruce Hoffman, corak dan ciri  keganasan moden dipengaruhi oleh perjuangan yang bercorakreligious motivation.[4] Ini dibuktikan dengan kemunculan banyak kumpulan-kumpulan fundamentalis yang berpegang kepada ideologi radikal ekstremis seperti Al-Qaeda dan Islamic State(IS). Punca kewujudan kumpulan seperti Al-Qaeda adalah kesan peninggalan daripada pasca Perang Afghanistan di era 80an. Pejuang-pejuang Mujahidin Afghanistan yang kembali dari Afghanistan kembali semula ke negara asal mereka dengan membawa fahaman radikal yang diperoleh dari kem-kem latihan di Afghanistan (contohnya Kem Sa’ada, Kem Herat dan Kem Torkham). Kepulangan mujahid-mujahid ini dari medan perang Afghanistan telah mencetuskan satu dimensi baru di negara asal mereka. Sebagai contohnya, bekas mujahid dari Indonesia menubuhkan Al Jama’ah Al Islamiyah, bekas mujahid dari Selatan Filipina menubuhkan Kumpulan Abu Sayyaf dan bekas mujahid dari Malaysia menubuhkan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Bekas-bekas pejuang dari Timur Tengah pula kembali ke negara asal mereka dan menubuhkan pelbagai organisasi seperti mana Abu Musab Al Zarqawy yang menubuhkan Bay’at Al Imam di Jordan yang kemudiannya ditukar nama sehingga menjadi IS pada hari ini.

Ethnic Cleansing di RwandaAnimal Liberation Front (ALF)

CIRI-CIRI TERORISME ALAF BARU

Berdasarkan taktik, teknik, strategi, motif dan orientasi kumpulan-kumpulan pengganas dewasa ini beberapa ciri terorisme alaf baru dapat dirumuskan. Antara ciri-ciri terorisme alaf baru yang sangat signifikan adalah seperti berikut:

Penajaan. State sponsorship masih relevan dalam konteks terorisme moden. Negara-negara terlibat berperanan dalam memberi tempat latihan militansi, membekalkan senjata api dan sebagainya untuk kepentingan negara berkenaan. Antara negara yang diklasifikasikan adalah seperti Iran, Iraq dan Afghanistan yang mana negara-negara ini dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda, Lashkar-i-Jhangvi (Afghanistan) dan Syria (Hizbullah di Lubnan).[5]Orientasi.   Pengganas alaf baru lebih berorientasi/ berlatarbelakangkan agama berbanding orientasi sekular.Rangkaian. Kumpulan pengganas moden mementingkan jaringan dan rangkaian di luar negara. Ada pengganas tidak menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan (tidak mempunyai afiliasi) sebaliknya mereka bertindak atas perkongsian motivasi dan inspirasi (motivation and inspiration over affiliationKeahlian. Disebabkan perkongsian ideologi, motivasi dan inspirasi ini maka lahirlah kelompok generasi pengganas baru yang kini digelar sebagai ‘lone wolf’ atau ‘part time terrorist’. Pengganas-pengganas alaf baru ini tidak mempunyai latihan yang formal dalam aspek ketenteraan berbanding kumpulan-kumpulan pengganas di era 1960an-1980an kerana mereka lebih didorong oleh sentimen perkongsian motivasi dan inspirasi untuk melakukan aktiviti keganasan.Kekuatan. Kumpulan pengganas alaf baru juga mempunyai keanggotaan yang lebih ramai seperti Al-Qaeda yang mempunyai ahli seramai 4000-5000 orang, manakala militan IS mampu merekrut seramai 28,000-32,000 pejuang asing dan jumlah ini tidak termasuk dengan jumlah militan tempatan yang direkrut di Syria dan Iraq.Komunikasi. Walaupun kumpulan pengganas alaf baru ini dianggotai oleh amatur atau individu yang kurang terlatih, namun, dengan perkembangan teknologi internet yang menjadi medium perhubungan global ketika ini segala bentuk komunikasi dan latihan ia boleh didapati dan dilakukan dengan mudah.Motivasi. Perubahan ini lebih bercorak kepada kebangkitan fanatisme keagamaan. Agama dimanipulasikan untuk mencapai tujuan dan objektif sesuatu kumpulan pengganas serta dijadikan motivasi untuk membenarkan anggota mereka mengambil tindakan keganasan ke atas sasaran.Kemunculan Ideologi ‘Exotic’. Kini terdapat isu-isu yang ‘exotic’ yang menjadi platform atau ideologi untuk sesetengah kumpulan melakukan keganasan. Sebagai contohnya, ideologi berasaskan exotic ini adalah seperti isu alam sekitar misalnya bantahan terhadap aktiviti pembalakan, pemburuan haiwan, anti-keguguran dan sebagainya. Kebiasaannya mereka ini terdiri daripada aktivis dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGOs)  seperti  Earth Liberation Front (ELF) danAnimal Liberation Front (ALF) dipercayai bertanggungjawab ke atas pelbagai serangan ganas dan sabotaj di Amerika Syarikat (AS).Serangan lone wolf di Boston dan ParisPengunaan Senjata Bukan Konvensional. Apa yang menarik perhatian dan mencetuskan kebimbangan adalah teroris alaf baru telah mula menunjukkan minat mereka untuk menggunakan senjata bukan konvensional dalam melakukan serangan keganasan. Senario ini dibuktikan dengan penggunaan gas sarin oleh Soko Asahara dalam serangan di Tokyo Subway Station. Taktik dan modus operandi yang sama juga telah mula ditunjukkan oleh kumpulan pengganas lain seperti percubaan menggunakan gas sarin oleh kumpulan pengganas di Indonesia.Pendanaan. Terorisme alaf baru menyaksikan bahawa mereka berupaya mendapatkan dana sendiri tanpa bantuan dari ‘state sponsor’. Fenomena IS kini dengan jelas menunjukkan corak sebegini di mana IS mampu mencari dana untuk pengoprasian mereka dan kini IS adalah merupakan kumpulan pengganas yang paling kaya dalam sejarah terorisme.Imej Keganasan. Salah satu perkara yang sangat signifikan untuk menerangkan corak terorisme alaf baru adalah skala dan impak keganasan yang mereka lakukan. Pengganas moden kini lebih ganas, lebih kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Mesej yang mereka ingin sampaikan adalah keganasan yang melepasi norma-norma kemanusiaan.

BAGAIMANA FENOMENA ISLAMIC STATE (IS) MENERANGKAN CIRI-CIRI TERORISME ALAF BARU

Militan IS

Bagi menjelaskan corak dan ciri-ciri terkini terorisme alaf baru, feneomena dan senario IS sekarang dapat menjelaskan beberapa perkara yang menjadi ‘trademarks’ kepada organisasi pengganas moden. Berikut adalah ciri-ciri tersebut:

Keganasan Yang Berskala Besar. Serangan-serangan dan keganasan yang dilakukan oleh pengikut IS ataupun ‘symphatiser’ mereka seperti di Paris (2014 dan 2015) dan Sydney (2013) memberi gambaran pengganas moden  mampu melaksanakan serangan yang berskala besar walaupun dengan hanya menggunakan teknik dan teknik yang mudah (low-scale and low-tech).Kumpulan pengganas IS dan affiliasi mereka berupaya melancarkan serangan keganasan untuk mencetuskan kesan psikologi dan trauma kepada sasaran yang lebih besar melepasi sasaran yang disasarkan. Kumpulan pengganas seperti IS ini tidak takut dengan kegagalan kerana serangan yang gagal juga mampu mencetuskan kesan psikologi yang amat kuat kepada sasaran mereka.Perkongsian Motivasi dan Inspirasi Berbanding Afiliasi. Pelaku atau aktor yang melakukan keganasan sekarang tidak semestinya menjadi ahli kepada mana-mana organisasi pengganas. Tindakan dan perbuatan mereka didorong oleh perkongsian sentimen, inspirasi dan motivasi terhadap sesuatu perjuangan. Perkongsian sentimen dan idea ini dipupuk melalui hubungan dalam media sosial seterusnya mencetuskan aksi keganasan atas inisiatif individu tersebut. Pelaku ini dilihat bertindak secara individu tanpa mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tindakan yang diambil bersandarkan kepada semangat ingin berperang dan berjihad hasil daripada motivasi dan inspirasi kumpulan pengganas.Propaganda Menarik Penyokong Dari Masyarakat Umum. Kumpulan pengganas moden kini menggunakan propaganda untuk menarik perhatian masyarakat umum dengan cara membuat deklarasi bahawa sesuatu insiden serangan berlaku (seperti di Paris, di Mali) sebagai satu serangan yang dilakukan oleh pengikut atau penyokong mereka. Ini bertujuan untuk menunjukkan kepada masyarakat global bahawa mereka mempunyai pengaruh dan pengikut yang kuat di seluruh dunia. Walaupun sesetengah insiden keganasan adalah berbentuk domestik tetapi kumpulan pengganas seperti IS ini tetap akan mengatakan bahawa aksi serangan tersebut adalah dilakukan oleh pengikut atau penyokong mereka.Menumpukan Kepada Pengawalan dan Meluaskan Wilayah. Berbanding dengan motif dan strategi kumpulan pengganas di era 1960an-1980an, motif dan strategi militan IS dilihat mempunyai dimensi yang lebih besar iaitu cuba memenuhi kriteria pembentukan sebuah negara dengan menguasai sesuatu kawasan beserta populasinya. Ini adalah penting kepada IS kelak untuk melaksanakan pentadbiran dan Undang-Undang Syariah di samping melahirkan generasi-generasi baru  untuk mencapai matlamatnya. Situasi yang berlaku di Syria dan Iraq jelas menggambarkan hasrat IS ini.Kawasan penguasaan IS di Iraq dan SyriaMemaparkan Imej Keganasan. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh affiliasi dan rangkaian IS di Libya, Afrika dan sebagainya sengaja disasarkan untuk tontonan umum. IS turut membuat suntingan video terhadap rakaman pembunuhan kejam dengan paparan sinematografi yang canggih. Corak keganasan sebegini secara tidak langsung bukan semata-mata untuk menarik sokongan penyokongnya tetapi cuba menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai dan pihak musuh. IS cuba memberikan kesan psikologi yang amat kuat melepasi kumpulan sasaran mereka.Paparan sinematografi IS yang canggih

Transisi terorisme dilihat banyak dipengaruhi faktor kemajuan teknologi yang lebih canggih. Dalam hal ini, kumpulan pengganas menggunakan aplikasi teknologi dalam melancarkan segala aktiviti keganasan supaya lebih mudah, cepat dan licik. Teknologi juga membantu mereka untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Kemudahan seperti Internet berfungsi menyebarkan naratif serta mesej berbau hasutan dan kebencian terhadap kerajaan serta sasaran mereka untuk meraih simpati dan sokongan. Dari segi kepakaran, kumpulan pengganas pada masa kini mudah untuk mendapatkan akses dalam bidang ini. Secara lazimnya, kepakaran ini disumbangkan oleh pakar-pakar sains komputer yang berjaya di doktrinisasi dengan ideologi pengganas. Adalah menjadi kebimbangan sekiranya kumpulan pengganas mampu mengakses data-data berdarjah rahsia, maklumat risikan dan pasukan keselamatan yang mana sekiranya berlaku, ia mampu memberi kesan buruk kepada keselamatan sesebuah negara.

Sebelum kemunculan terorisme alaf baru, bentuk ancaman keganasan di rantau ini adalah lebih bersifat domestik yang menyaksikan kewujudan kumpulan pemberontak dan separatist khususnya di Selatan Thailand dan Selatan Filipina sejak 1960an. Selepas 1990an, corak ini berubah daripada fasa ancaman domestik kepada fasa ancaman global. Antara faktor yang mendorong kepada transisi ini adalah disebabkan pengaruh isu semasa antarabangsa yang mempengaruhi masyarakat tempatan untuk menyokong sesuatu tindakan pengganas antarabangsa dan seterusnya turut menyertainya. Hal ini jelas berlaku selepas kemunculan Al-Qaeda dan militan IS yang menggunakan naratif memperjuangkan masyarakat Islam tertindas sebagai modul propaganda untuk mendapatkan sokongan umat Islam di seluruh dunia.

Transisi keganasan moden juga mempunyai kaitan dengan hubungan dan kerjasama kumpulan pengganas dengan kumpulan jenayah transnasional. Kumpulan pemberontak dan pengganas seperti Pejuang Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan senjata api yang berpusat di Thailand dengan menjadikan Phuket sebagai transit penyeludupan. Selain itu, sindiket pemalsuan dokumen perjalanan juga wujud dalam pertalian kumpulan pengganas dengan kumpulan penjenayah. Kumpulan pengganas juga aktif dalam melakukan jenayah lain seperti penculikan dan tebusan bagi mendapatkan sumber kewangan secara drastik. Hal ini jelas menggambarkan aktiviti penculikan KAS di Selatan Filipina.

Perubahan corak keganasan juga dilihat mempengaruhi corak dan kaedah serangan pengganas pada ketika ini. Dengan pengaruh jihad dan doktrin radikal ekstremis mendorong anggota pengganas untuk melakukan serangan ke atas ‘musuh’ mereka dengan serangan berasaskan lone-wolf, IED, serangan berani mati, serangan menggunakan bom paip, bom buku dan serangan bio-toksin, yang menyasarkan bangunan kerajaan, kem tentera, balai polis, rumah ibadat, pusat hiburan dan pusat membeli-belah. Serangan sedemikian lebih bermotifkan kepada near dan far enemy bertujuan untuk mempengaruhi keputusan kerajaan antara lainnya untuk menghentikan kempen anti-keganasan.

Bom buku, Anthrax dan bom paip

Isu keganasan antarabangsa adalah merupakan suatu perkara yang dikaitkan dengan konsep Clash of Civilisation atau pertembungan budaya yang diasaskan oleh pemikir, Samuel Huttington.[6]Selepas tamatnya Perang Dingin pada 1989 dan keruntuhan Soviet Union serta Eropah Timur pada tahun 1991, fenomena keganasan melibatkan kumpulan militan Islamis muncul dan dilihat sebagai ancaman terkini. Kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda dan IS adalah bukti kepada konsep ini yang mana kedua-dua organisasi pengganas ini menyifatkan dominasi barat ke atas dunia Islam adalah satu permasalahan dan tanggungjawab yang perlu ditentang sepenuhnya oleh umat Islam.

Faktor fundamentalis yang diketengahkan oleh militan Islamis banyak mempengaruhi pemikiran golongan-golongan radikal Islam seumpama Abu Bakar Ba’asyir (bekas Amir Majlis Mujahidin Indonesia (MMI).[7] Dalam aspek ini, ulama fundamentalis menyifatkan bahawa sistem perundangan dan demokrasi adalah undang-undang ciptaan manusia yang perlu ditolak kerana dianggap sebagai ‘bidaah’ dan tidak berlandaskan Undang-Undang Syariah. Sentimen ini berasaskan daripada pengaruh penulisan ahli falsafah radikal seperti Sayyid Qutb, Al-Maududi dan Nabhani melalui konsep Daulah ataupun Khilafah Islamiyah.[8] Selain itu, golongan fundamentalis ini juga bersifat eksklusif dan menolak semua aspek luar dari lingkungan Al-Quran dan hadis untuk diserapkan ke dalam sistem politik negara Islam kerana bimbang percampuran sedemikian akan menggagalkan matlamat politik mereka. Kegagalan mencapai matlamat fundamentalis dilihat mendorong mereka untuk membenarkan tindakan keganasan ke atas pihak-pihak sasaran termasuk orang awam dan juga kepentingan barat. Pengaruh radikal ekstremis golongan fundamentalis adalah merbahaya dan berupaya mengancam keselamatan sesebuah negara yang memiliki populasi multi-etnik dan mengamalkan konsep demokrasi.

Abu Bakar Ba’asyir

Permasalahan utama yang dihadapi oleh setiap negara yang berhadapan dengan isu keganasan moden adalah kelemahan dari aspek menangani ideologi, menghalang dan menghentikan sokongan orang awam kepada kumpulan pengganas. Ini kerana kumpulan pengganas berupaya memanipulasikan perjuangan yang dibawa dengan menyatakan ia sebagai satu tindakan yang mulia dan menguntungkan. Medium indoktrinasi dilakukan melalui pelbagai platform sama ada Internet dan media massa. Pengganas juga menyebarkan ideologi kebencian dan kekecewaan terhadap pihak pemerintah serta pihak lain kerana gagal mencapai matlamat politik yang diidamkan. Keganasan adalah jalan terakhir untuk menjustifikasikan matlamat politik kumpulan pengganas.

PENUTUP

Era globalisasi menyaksikan corak keganasan yang lebih sofistikated dan kompleks dengan perubahan kepelbagaian taktik dan strategi kumpulan pengganas. Pemerhatian para penganalisis menunjukkan bahawa kebanyakan peristiwa yang dikaitkan dengan keganasan antarabangsa adalah merupakan suatu tindak balas yang diambil secara kekerasan oleh sekelompok individu ke atas pihak kerajaan memerintah atau sasaran lain yang dianggap menindas hak, kehendak dan keperluan masyarakat umum.

Dalam hal ini, kumpulan pengganas juga dilihat menyelitkan elemen perjuangan atas nama agama di mata masyarakat dengan tujuan untuk meraih simpati dan sokongan. Kebanyakan aktiviti keganasan berlaku apabila tidak ada lagi ruang perbincangan di antara kedua-dua pihak bertelagah. Kepentingan politik dan kuasa dilihat mengatasi perkara lain sehingga mengakibatkan pertembungan conflict of interest yang sekali gus mendorong tindakan keganasan oleh pengganas.

Justeru, adalah wajar untuk penggubal polisi dan dasar sesebuah negara melihat ancaman keganasan sebagai teladan serta pengajaran dan perlu mencari langkah penyelesaian bagi menyelesaikan masalah ini dengan lebih proaktif, efektif dan kolektif. Dalam hal ini, aspek kemanusiaan perlu diketengahkan sebagai pendekatan dan fokus utama untuk mempromosikan kehidupan masyarakat yang lebih aman, makmur dan harmoni. Pendekatan secara intelektual melalui pendedahan konsep keganasan juga wajar disampaikan kepada masyarakat umum untuk mendidik dan mengelak penyertaan mereka dalam aktiviti keganasan.

[1] Keterangan lanjut tentang fenomena ‘new terrorism’ ini boleh dilihat dalam Bruce Hoffman,Inside Terrorism (New York: Columbia University Press 1998); Ian O. Lesser, Bruce Hoffman, John Arquilla, David Ronfeldt, Michele Zanini, Countering the New Terrorism (Santa Monica: RAND, 1999); Walter Laqueur, The New Terrorism, Fanaticism and the Arms of Mass Destruction (New York: Oxford University Press 1999); Steven Simon and Daniel Benjamin, ‘America and the New Terrorism’, Survival 42 (Spring, 2000) pp.59–75 and Olivier Roy, Bruce Hoffman, Reuven Paz, Steven Simon and Daniel Benjamin, ‘America and the New Terrorism: An Exchange’, Survival 42(Summer 2000) pp.156–172 . Christopher C. Harmon, Terrorism Today (London: Frank Cass 2000).

[2] Keterangan lanjut tentang kepelbagaian definisi terorisme ini boleh dilihat dalam Oots, Ken Layne,1986, A Political Organisation Approach to Transnational Terrorism, Greenwood Press, NY, hlm 23.

[3] Khmer Rouge, https://en.wikipedia.org/wiki/Khmer_Rouge, diakses pada 12 Okt 15.

[4] Paul Wilkinson, 2000, The Strategic Implications of Terrorism, Terrorism and Political Violence: A Sourcebook, Harnand Publication, hlm  8-9.

[5] Terrorism Research, www.terrorism-research.com/state/countries.php, diakses pada 13 Okt 15.

[6] John Baylis, Steve Smith, Globalization of World Politics, (Oxford: New York, 2006), halaman 485.

[7] Zulkarnain Haron, Fundamentalism And The Utopia Of A Daulah Islamiyah/ Khilafah Islamiyah, The Journal of Defence And Security, (Malaysia: MIDAS), m/s: 16.

[8] Ibid., 21.

TagIS KEGANASAN TERORISME

SebelumnyaHUT JKHEW TD Ke-34

SeterusnyaKecemerlangan Budaya Kerja KEMENTAH

Artikel Berkaitan



Melawan Naratif-Naratif IS/ISIS/DAESH

25/03/2016



Mengapa Anggota Tentera Dilarang Menyertai IS

29/12/2015



Ulasan Buku: 10 Salah Faham Terhadap ISIS

25/05/2015

Leave a Reply